Mesyuarat MPLPU Pertama Kali Diadakan Di UUM

 

LPU20181

 

Semua Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Awam diraikan pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Majlis Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Awam di Dewan Sri Angsana, EDC Hotels & Resorts, UUM, semalam.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berbesar hati dan menyambut baik Mesyuarat MPLPU yang buat  pertama kalinya UUM menjadi tuan rumah.

“Saya ucapkan selamat datang kepada semua Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Awam Malaysia ke UUM, ribuan terima kasih kepada yang hadir dan saya berharap agar semua dapat menikmati keindahan Kampus UUM.

“Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir, Pengerusi Lembaga Pengarah UUM di atas pelantikan sebagai Pengerusi MPLPU bagi tahun 2018 – 2019.

“Saya yakin pemilihan beliau amatlah tepat dan bagi pihak UUM, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada MPLPU dalam melaksanakan peranannya demi kebaikan dan manfaat semua Universiti Awam, masyarakat dan negara,” ucapnya yang turut berkongsi perkembangan tentang UUM, Sintok.

Pelbagai pencapaian telah dicapai oleh UUM hasil usaha semua pihak terutamanya Tan Sri Siti Sa’diah sendiri yang banyak memberi pandangan dan nasihat dalam membangun dan merencanakan perjalanan Universiti ini.

“Peranan Lembaga Pengarah amat penting dan tugas LPU kini sangat mencabar berbanding dahulu kerana hal kewangan dengan potongan bajet yang dihadapi semua universiti, kita berdepan cabaran yang begitu besar. 

“Semua berlumba-lumba untuk meningkatkan kedudukan masing-masing yang dinilai dan diperhatikan jadi kita kena bekerja kuat lebih daripada biasa, semua perlu menyinsing lengan untuk mencapai agenda yang ditetapkan,” tambahnya.   

Pada majlis berasingan, Mesyuarat Majlis Pengerusi LPU Universiti Awam Kali Ke-4 Bil. 1/2018 berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti, pagi tadi.

Mesyuarat ini antara lain membincangkan mengenai masa depan dan hala tuju Universiti Awam di Malaysia selain mengupas banyak perkara penting yang dibincangkan, diperhalusi dan diputuskan demi faedah bersama.