Bersara Selepas 33 Tahun Menabur Bakti

bersara

 

Pendaftar, Dato’ Mohamad Akhir Hj Yusuf mengakhiri perkhidmatannya di Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini (9 November) setelah 33 tahun menabur bakti bersama UUM.

Sehubungan itu satu Majlis Serahan Tugas Dan Perpisahan Pendaftar telah dianjurkan bagi meraikan dan menghargai jasanya bertempat di EDC Hotels & Resorts.

Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata Dato’ Mohamad Akhir merupakan antara staf awal yang berkhidmat di UUM sejak di kampus Tanah Merah, Jitra lagi.

"Sepanjang perkhidmatannya selama 33 tahun, beliau telah memegang pelbagai jawatan tinggi termasuk Pengarah di beberapa Jabatan utama di UUM, menubuhkan Universiti Press pada tahun 1985 serta menyumbang untuk pembangunan sukan golf di UUM di mana beliau terlibat dalam penubuhan Kelab Golf UUM pada tahun 1987.

"Selain itu sebagai perintis yang terlibat dalam perjalanan pentadbiran Universiti, beliau juga banyak menyumbang jasa dan bakti terutama dalam memperbetul dan menambah baik Jabatan Sumber Manusia (Pendaftar) yang membolehkan sistem pengurusan sumber manusia universiti menjadi lebih baik dan sistematik.

"Diharap Dato’ Mohamad Akhir dapat terus menyumbang pengalaman serta idea dengan pihak pengurusan Universiti dalam membantu Universiti mendepani segala cabaran dan rintangan untuk dinobatkan  antara universiti terulung dalam bidang pengurusan di peringkat antarabangsa walaupun tidak lagi berkhidmat dengan UUM," ujarnya.

Pada majlis itu En Baharudin Yaacob telah menerima nota serah tugas daripada Dato’ Mohamad Akhir dan watikah pelantikan Pendaftar secara pemangkuan yang disempurnakan Naib Canselor.