PERKONGSIAN MAKLUMAT DAN PENGALAMAN DALAM BENGKEL KENAIKAN PANGKAT STAF AKADEMIK SOL

sol

 

Pihak Pengurusan Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) amat menitikberatkan  pembangunan kerjaya para pensyarahnya. Atas dasar itulah, Pusat Pengajian Undang-undang  telah mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Kenaikan Pangkat Staf Akademik pada 11 April 2017. Bengkel setengah hari itu telah dimanfaatkan pengisiannya dengan menjemput Encik Redzuan Ishak, Ketua Penolong Pendaftar Kanan di Jabatan Pendaftar untuk menyampaikan taklimat tentang proses permohonan kenaikan pangkat di UUM.

Sesi kedua dikendalikan oleh Profesor Dr. Asmah Laili Hj. Yeon, Profesor SoL yang  berkongsi maklumat dan pengalaman  berkaitan kriteria dan justifikasi penilaian bagi permohonan yang dihantar kepada Jawatankuasa Penilai di peringkat Kolej. Selain itu, pensyarah kanan SoL yang berjaya mendapat kenaikan pangkat ke Profesor Madya baru-baru ini juga telah berkongsi pengalaman dan tatacara proses pengisian borang permohonan kenaikan pangkat yang mereka lalui sebelum ini.

Dengan adanya bengkel kenaikan pangkat ini, Timbalan Dekan, Dr. Zuryati Mohamed Yusoff berharap agar semua pensyarah akan lebih bersedia untuk memohon kenaikan pangkat dan membuat perancangan terperinci ke arah itu memandangkan permohonan kenaikan pangkat ini merupakan suatu proses yang pastinya mengambil masa untuk selesai dengan jayanya. Secara tidak langsung, galakan sebegini akan meningkatkan bilangan pensyarah yang mempunyai jawatan Profesor Madya dan Profesor di Pusat Pengajian Undang-undang.

Timbalan Dekan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penceramah jemputan yang sudi meluangkan masa berkongsi ilmu dan juga kepada para pensyarah yang hadir memberikan komitmen dalam bengkel tersebut.

Sekian.