LAWATAN BAHAGIAN BIASISWA, KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI KE JABATAN PENDAFTAR

 

29032017

 

JABATAN PENDAFTAR-  Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan Tinggi telah mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Pendaftar. Lawatan ini diketuai oleh Encik Mohd Nasir Mohamad Mazlan, Setiausaha Bahagian Biasiswa KPT bersama beberapa orang pegawainya. Ketibaan mereka di UUM telah disambut oleh Timbalan Pendaftar, Encik Baharudin Yaacob.

Sebelum mengadakan perbincangan, rombongan daripada KPT telah dibawa mengunjungi Anjung Tamu untuk mengetahui dengan lebih lanjut sejarah penubuhan dan juga pencapaian UUM sehingga kini. Bagi Encik Mohd Nasir Mohamad Mazlan, kunjungan ini mengimbau kembali zaman beliau belajar di UUM. Sebagai alumni UUM, beliau berbangga dengan pencapaian UUM sehingga kini dan kemajuan yang dicapai memperlihatkan kesungguhan pengurusan dalam memajukan UUM. Kemudian, rombongan ini dibawa mengelilingi kampus dan singgah di beberapa tempat menarik termasuk Manager’s Coffee dan Varsity Mall.

Perbincangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Jabatan Pendaftar turut melibatkan Jabatan Bendahari, Jabatan Hal Ehwal Akademik, U-Assist, Bahagian Perjawatan dan juga Unit Pengajian Lanjutan Jabatan Pendaftar. Encik Baharudin Yaacob telah memberikan taklimat berkaitan dengan pengajian lanjutan dan juga perjawatan di UUM. Ianya melibatkan perancangan pembangunan sumber manusia UUM termasuk berkaitan dengan skim Tutor, program penggantian dan kemudahan-kemudahan pengajian lanjutan yang disediakan universiti. Secara keseluruhanya, Bahagian Biasiswa KPT berpuas hati dengan perancangan yang dibuat oleh pihak UUM. Encik Mohd Nasir juga berharap, UUM dapat bekerjasama dengan pihak KPT dalam beberapa isu termasuk pemantauan pelajar-pelajar tajaan mereka di UUM.

Yang Berusaha Profesor Dr. Hassan Ali Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa)  telah meraikan rombongan ini di Mayang Sari Bistro pada jamuan tengah hari. UUM merupakan universiti awam yang pertama dilawati oleh Bahagian Biasiswa tahun ini, mereka merangka untuk melawat semua universiti awam dalam waktu terdekat. Lawatan ke UUM memberikan mereka maklumat dan gambaran jelas hala tuju yang perlu difokuskan oleh bahagian ini.