All News

Perkasakan UUM Dalam Setiap Aspek Ikut Acuan Sendiri

03

UUM ONLINE: Tahun 2022 bakal menjadi penanda aras Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha menggembleng tenaga ke arah menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka menerusi Pelan Strategik UUM.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) yang menjalankan tugas Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, bagi memastikan UUM mampu bersaing di semua peringkat, kampus ini perlu diperkasakan dalam setiap aspek mengikut acuan sendiri berdasarkan keadaan semasa universiti.

Jelasnya, pendidikan adalah sektor kritikal, justeru akses kepada tadbir urus terbaik, kepimpinan berkualiti dan sumber kewangan yang kuat dapat memainkan peranan penting dalam memacu kecemerlangan universiti.

Menurutnya, dalam ucapan Naib Canselor sempena Hari Pengasasan UUM lalu, beliau telah mengingatkan semua warga universiti tentang misi UUM iaitu mendidik pemimpin berperwatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global.

“Penjawat utama adalah kelompok pemimpin UUM yang menjadi tunjang kepada komuniti di pusat tanggungjawab (PTJ) masing-masing agar lebih cemerlang secara kolektif untuk memberi yang terbaik kepada universiti. 

“Skop tadbir urus dan kepimpinan merangkumi aspek tatacara Ketua Jabatan dan para pegawai di semua peringkat pengurusan untuk melaksanakan tanggungjawab secara telus dan berhemah dari segi pengambilan dan penyampaian hasil, budaya kerja, dasar, strategi serta tatacara berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan (stakeholders)," katanya di Kursus Penjawat Utama UUM Tahun 2022 di EDC UUM, pagi tadi.

Tambah beliau, seorang ketua perlu menjadi teladan dengan mempamerkan komitmen yang tinggi terhadap prinsip tadbir urus yang terbaik.

Menurutnya, pemimpin yang efektif mempunyai visi, integriti, pemikiran strategik, hubungan kerja yang produktif, saluran komunikasi yang berkesan dan berupaya untuk menghasilkan pencapaian.

"Tabdir urus dan kepimpinan yang berkualiti mencerminkan sikap profesionalisme sebagai penjawat awam yang dapat meningkatkan keyakinan dan persepsi masyarakat luar terhadap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan secara amnya dan dapat mencapai matlamat.

"Saya optimis sepanjang tempoh kursus ini dapat membuka ruang kepada semua penjawat utama ini untuk memahami inspirasi universiti, menjalankan amanah dan tugas di UUM dengan lebih sempurna, di samping dapat meningkatkan kemahiran diri dan pengetahuan melalui pengisian yang telah diatur," ujarnya.

Seramai 134 peserta terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Dekan dan Timbalan Dekan Pusat Pengajian, Pengarah dan Timbalan Pengarah Pusat Tanggungjawab serta Pengetua Inapan Siswa (INASIS) mengikuti Kursus Penjawat Utama itu.

Sepanjang kursus berlangsung, semua penjawat utama akan mengikuti dua slot ceramah iaitu Slot 1 bersama Prof. Madya Dr. Engku Ismail Engku Ali dan Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz serta Slot 2 bersama Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar.