All News

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Penjawat Utama UUM 2022

 

02Feb 13, 2022 UUM ONLINE: Bakal menginjak usia 38 tahun pada tahun ini, hasrat menjadikan Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai ‘Harvard of the East’ bukan lagi angan-angan tetapi satu perjuangan bersama. Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pada awal penubuhan UUM yang lalu, pengasas universiti ini iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan juga Naib Canselor pertama, Allahyarham Tan Sri Dr. Awang Had Salleh pernah melahirkan hasrat untuk menjadikan UUM sebagai ‘Harvard of the East’ tetapi impian tersebut dilihat sebagai luar biasa oleh orang ramai. Menurutnya, Tan Sri Dr. Awang Had ketika itu telah menyeru agar seluruh warga universiti untuk bangkit dan bangun merealisasikan impian tersebut.

“Tetapi kenapa hari ini yang mana UUM memiliki kira-kira 80 peratus pensyarah yang mempunyai PhD berbanding pada awal pembukaan universiti ini tidak yakin dan tidak boleh untuk membawa UUM ke peringkat lebih tinggi, seterusnya menjadikan hasrat itu menjadi kenyataan? “Ini bukan lagi angan-angan tetapi perjuangan kita bersama. Saya berharap dengan pelantikan penjawat universiti ini sama ada sebagai kesinambungan mahupun lantikan baharu boleh bekerja bersama-sama dan memperkukuhkan lagi setiap aspek agar kita menjadi sebahagian cerita kejayaan UUM pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Penjawat Utama 2022 (Siri Kedua) di Dewan Mu’adzam Shah, petang tadi.

Seramai 215 staf UUM terdiri ahli akademik dan pentadbiran telah menerima watikah pelantikan yang disampaikan oleh Naib Canselor. Pada majlis itu juga, Prof. Dr. Haim Hilman merakamkan ucapan tahniah kepada semua kerana UUM berjaya melahirkan seramai 148 ribu graduan mahupun alumni yang mana 70 peratus merupakan daripada kalangan keluarga miskin. Beliau berkata, UUM telah mengangkat nasib anak bangsa dan negara keluar dari kepompong kemiskinan sehingga ada antara mereka berjaya memegang jawatan besar di luar sana. Menurutnya, beliau berharap penjawat yang dilantik ini dapat menerima jawatan yang diberikan dengan sepenuh hati dan menjalankan amanah sebaiknya. Naib Canselor juga turut berkongsi tentang moto UUM iaitu Ilmu, Budi, Bakti sebagai panduan kepada seluruh warga kampus untuk bangkit menjadikan UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka. Sementara itu, Ketua Jabatan Pengajian Bahasa di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Prof. Madya Dr. Mohd Hilmi Hamzah berkata, beliau terkejut dan pada masa sama turut teruja di atas pelantikan tersebut kerana ia merupakan satu penghargaan kepadanya khusus dalam perkembangan kerjaya. Di samping itu, beliau juga melihat inisiatif Naib Canselor untuk mewujudkan kembali jawatan tiga Timbalan Dekan adalah satu usaha yang baik supaya pengurusan pusat pengajian lebih tersusun dan berfokus. Manakala Pengurus di Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa, Mohd Khairy Mukhtaruddin melihat lantikan itu sebagai satu dorongan untuk dia terus berusaha membantu universiti dalam merealisasikan agenda pengantarabangsaan berbekalkan pengalaman selama 4 tahun di situ. Katanya, dia bersyukur dan berterima kasih di atas kepercayaan diberikan universiti dan akan memikul tanggungjawab dengan sebaiknya. Majlis diakhiri dengan bacaan ikrar yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan, Mohd Hanief Omar Zulkifli.